Pujuk pokok jangan layu, mati
Oleh Bennie Zie Fauzi
bennie@bharian.com.my
Sebelum: Halaman semak dan tidak bermaya. |
Maznah berbisik, berkata-kata dengan pokok supaya tumbuh mekar dan bersinar
MENGHIAS rumah tidak secerewet membentuk landskap. Tetapkan konsep dan gaya penataan, sekelip mata hiasan dalaman mampu disempurnakan. Kewujudan landskap bukan saja ditentukan ilmu berkebun, seni menanam sebaliknya bergantung kepada tanggungjawab memelihara dan menyelenggara.
Bermacam-macam perkara sanggup dicuba dan diteroka demi menghidupkan landskap. Pakar Landskap Enrich Focus Sdn Bhd, Maznah Aiffin mempunyai cara unik bercakap, berbisik, membelai dan sesekali memperdengarkan pokok-pokok di tamannya dengan muzik romantik.
“Pokok seperti bayi yang perlu dilimpahkan kasih sayang. Saya bukan saja bercerita, memujuk malah memasang lagu menenangkan jiwa supaya ia tumbuh mekar dan bersinar,” katanya.
Pantang melihat pokoknya layu, Maznah merawatnya menerusi perbandingan yang dibuat antara pokok berkenaan dengan spesies subur yang tumbuh bersebelahan.
“Berulang kali saya sebutkan, “Tolong jangan layu dan mati. Tengok ‘kawan’ di sebelah elok dan lebat bunga serta daunnya.” Lama-kelamaan dia akan mendengar cakap dan hidup subur,” katanya.
| Selepas: Pilihan spesies berbunga menghidupkan suasana dan menambah warna landskap. |
Apabila daun pokok menunjukkan kekuningan, Maznah segera memangkas seluruh ranting. Dia berbuat demikian bagi menyelamatkan seluruh pokok dari layu dan mati.
“Daun kekuningan harus dibuang kerana ia menyerap lebih banyak nutrien berbanding daun segar,” katanya.
Kesuburan pokok dijamin menerusi sistem tanaman mengikut struktur dan kelompok. Pokok yang bergantung hidup kepada air seperti keladi misalnya tidak patut berjiran dengan kaktus. Melainkan ditanam di dalam pasu, pokok berbeza ekosistem ini juga tidak boleh disiram secara rambang tetapi dibuat mengikut keperluan.
“Bunga kertas, canna, plumbergo, izora dan tumera boleh disiram sekali kerana tergolong dalam satu ekosistem,” katanya.
Selain menyeri taman, setiap pokok kata Maznah mempunyai fungsi dan peranan. Pokok kari misalnya, memiliki kelebihan menyerap bau busuk. Justeru, ia banyak ditanam di kawasan kumbahan, limbah dan dijadikan tanaman tutup bumi di kawasan berair.
Bagi kediaman mengadap jalan utama, Maznah mengesyorkan penghuninya menanam pokok pagaran seperti euginia, buluh, heliconia dan bunga raya yang berkebolehan memendapkan debu di samping berfungsi sebagai sempadan kawasan.
Bagaimanapun, Maznah mengingatkan menanam heliconia memerlukan komitmen padu kerana tidak boleh culas membuang bunga yang sudah mati. Andai lambat dibuang, pembesaran pokok akan terbantut.
Sementara, pokok bunga kertas dilarang sama sekali menghias pagar kerana batangnya yang berduri amat berbahaya untuk kanak-kanak. Pokok ini kata Maznah lebih sesuai dijadikan gerbang taman selain spesies sulur paut seperti sirih.
Marigold, celosia, cupea, bunga kertas, bunga raya, wild berries, orkid, pokok pandan, brunfelsia, calycine, heliconia, asplenium nidus, sansiviera hahnii, crossandra, xanadu, phylantinus dan calathea spesies pilihan Maznah melengkapi taman tropikanya. Konsep tropika menurut Maznah paling sesuai diketengahkan di iklim tempatan yang panas dan lembap.
Pemilihan sesetengah pokok berdaun lebar dilakukan kerana dia percaya struktur daun begitu layak menghiasi tamannya yang berkeluasan terhad dan kurang menerima tiupan angin. Lagipun, sebelum memilih pokok, dia terlebih dulu menetapkan hanya menginginkan tumbuhan yang mampu menghalang debu dan berfungsi sebagai sempadan kawasan.
Ditanya sebab dia tidak memilih spesies buluh menghiasi pagar, Maznah memberitahu pokok itu sebaiknya ditanam di landskap tema jepun dan zen serta di tanah lapang. Istimewanya buluh ialah boleh mengeluarkan bunyi gemersik apabila angin bertiup di samping batangnya mampu melentur mengikut hala tiupan angin. Justeru, katanya, lebih baik penumpuan diberikan kepada pokok berdaun lebar kerana daun pokok dijamin tidak pecah berikutan kedudukan kediamannya yang bukan terletak di kawasan laluan angin.

Leave a Reply